Monday 12 March 2012

Konsep Satu Malaysia

1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpadauan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum . Pengertian gagasan ini adalah bertunjangkan hasrat untuk mencapai status negara maju. Syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil. Ini hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Formula 1Malaysia digagaskan daripada dua aspek utama. Aspek pertama ialah penerapan teras-ters perpaduan manakala aspek kedua ialah penerapan nilai-nilai aspirasi. Teras-teras perpaduan mencakupi tiga perkara utama iaitu pertama: sikap penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua: prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; dan ketiga: keadilan sosial.

Teras-teras perpaduan didokongi oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia termasuklah nilai-nilai seperti hormat-menghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tutur kata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

Aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemen-elemen tersebut merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu dan meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru; meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berdasarkan undang-undang dan dasar negara; kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi. Pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya.